• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Buluh Gading Agih 939 Kad Sejahtera

KUALA NERUS, 6 Mac - Sebanyak 939 kad sejahtera telah diagihkan kepada penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kad tersebut sudah boleh mula digunakan sejak 1 Mac yang lepas.

Ustaz Ridzuan Hashim menyampaikan ucapan perasmian.

“Manfaat kad sejahtera bukan sahaja dinikmati oleh diri sendiri, malah suami, isteri, termasuk juga ibu bapa dan anak-anak tanggungan yang berumur 25 tahun ke bawah.

“Nilai manfaat yang diberi adalah sebanyak RM500 setahun, dengan kos setiap kali rawatan tidak melebihi RM70. Selebihnya perlu ditanggung oleh pemegang kad tersebut," ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Kad Sejahtera yang diadakan di Dewan Terbuka, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading, baru-baru ini.

Katanya, dengan adanya kad ini, kesesakan di hospital kerajaan akan berjaya dikurangkan kerana tumpuan rawatan telah beralih ke klinik swasta yang telah dilantik.

Justeru katanya, Inilah tugas dan tanggungjawab utama kerajaan yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan menyalurkan kekayaan negeri menerusi program-program yang telah disusun atur.

Beliau juga berharap agar para penerima kad ini dapat memanfaatkannya sebaik mungkin.


Tag: